Kuala Lumpur: “Saya cemburu dengan prestasi ekonomi Malaysia,” kata Datuk Seri Najib Razak yang memetik Perdana Menteri Belanda Mark Rutte di Dewan Rakyat, semalam.
Perdana Menteri berkata, malah Rutte mengakui dalam pertemuan kelmarin keadaan ekonomi negara ini jauh lebih baik berbanding Belanda.
Kerana itu, kata beliau, kedudukan ekonomi negara tidak terancam dengan jumlah hutang kerajaan sekarang.
“Hutang negara berada pada paras 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara lain dan kedudukan ini tidak mengancam kedudukan ekonomi yang turut dipersetujui negara luar,” kata beliau menjawab soalan tambahan Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) ketika sesi soal jawab.
Seng Giaw mahu tahu bagaimana kerajaan menyelesaikan masalah hutang negara, kenaikan kos perbelanjaan sektor awam dan kos sara hidup.
Berkaitan hutang isi rumah, menurut Najib, ia berada pada tahap 80 peratus berbanding Amerika Syarikat yang membawa kepada krisis subprima.
“Sebahagian besar hutang isi rumah negara adalah hutang membeli rumah. Jadi ada aset sokongan dan aset beli rumah terus meningkat.
“Walaupun pada tahap 80 peratus, kita mesti sedar, sebahagian besar adalah hutang membeli rumah, nilai aset ini akan terus meningkat,” kata beliau.