Harga Kereta Akan Dinaikkan Akibat Kejatuhan Ringgit


MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed (tengah) sempena majlis pelancaran Bangunan Perodua Sentral di Petaling Jaya. 
Turut hadir, Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin (dua dari kanan), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh (dua dari kiri), Pengarah Daihatsu Motor Corporation, Masahiro Fukutsuka (kanan) dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Seri Ismail Ahmad (kiri)

Foto Yazit Razali PETALING JAYA: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), mempertimbang untuk menaikkan harga kenderaan keluarannya ekoran penyusutan nilai ringgit ketika ini. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata pertimbangan itu dibuat selepas syarikat pengeluar kereta kompak nasional mencatat penyusutan keuntungan sebelum cukai sebanyak lima peratus setakat ini. "Kejatuhan nilai ringgit memberi impak kepada kos operasi syarikat untuk jangka masa panjang.

 Kita cuba mengekalkan harga untuk semua model keluaran PERODUA namun penyusutan nilai ringgit yang berterusan menyebabkan kita perlu menilai semula harga," katanya selepas pelancaran PERODUA Sentral di sini, hari ini. ‎PERODUA Sentral, iaitu pusat sehenti kepada pelanggan jenama itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed. 

Yang turut hadir, Pengerusi PERODUA, Tan Sri Asmat Kamaludin; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad; dan Ketua Pegawai Operasi PERODUA, Dr Zahari Husin. Mengulas perkara sama, Asmat berkata, PERODUA akan terus memantau kos operasi syarikat dan berhubung dengan vendornya bagi mengembangkan langkah penjimatan dalam situasi ekonomi serba mencabar ketika ini. "Walaupun penggunaan komponen tempatan kenderaan keluaran PERODUA pada purata 90 peratus, bakinya masih diimport, yang mana penyusutan nilai ringgit ketika ini memberi sedikit impak kepada syarikat.

 "Kita sedaya upaya mengekalkan harga semasa dan cuba bertahan hingga nilai ringgit mencapai paras tertentu, namun ia (nilai ringgit) terus bertahan pada paras rendah menyebabkan PERODUA terpaksa berbuat sesuatu," katanya. PERODUA Sentral dibangunkan di tapak seluas 15,700 meter persegi membabitkan pelaburan RM36 juta. Beroperasi sejak 5 Mei lalu, ia menawarkan perkhidmatan komprehensif kepada pelanggannya termasuk pusat jualan hingga perkhidmatan servis. Malah PERODUA Sentral turut menawarkan perkhidmatan kaunter JPJ dan mesin ATM untuk kemudahan pelanggannya serta penduduk setempat.

Selanjutnya : Berita Harian

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »