Akhirnya CEO Tabung Haji Letak Jawatan


Terbaru ialah berita CEO Tabung Haji dilaporkan akan meletakkan jawatan dan dipindahkan ke GLC lain. Kalau benar, bagi saya ia berita yang baik untuk rakyat. Kepada mereka yang terus menyebarkan konon saya memfitnah Tabung Haji, fikir-fikirlah jika yang saya bawa itu tidak benar, kenapa pula perlu seorang CEO meletakkan jawatan? Bezanya beliau diberi jawatan baru saya diberikan kertas pertuduhan baru ha3. Mohon sebarkan!
26 APRIL 2016

Saya mengambil maklum berita yang disiarkan The Edge Financial Daily hari ini di capaian The Edge mengenai keputusan Tan Sri Ismee Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji yang akan meletakkan jawatan mengikut sumber akhbar kewangan tersebut.

Saya tidak terkejut dengan berita tersebut kerana saya memang telah mendengar ura-ura ini sejak sebulan yang lalu semasa persidangan Parlimen yang lepas pun.

Jika benar, ia merupakan satu kemenangan kepada rakyat dan secara tidak langsung mengesahkan bahawa kesemua isu bersabit tata kelola dan kedudukan kewangan Tabung Haji yang saya bawa sebelum ini ada kebenarannya.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya pengurusan baru Tabung Haji kelak meneliti kesemua isu yang saya bawakan dan memberi penjelasan yang telus kepada rakyat. Saya juga ingin menyatakan apabila isu-isu itu terbukti ada kebenarannya, maka wajarlah Tabung Haji menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap saya dan menggugurkan kes jenayah supaya satu tindakan saman di mahkamah sivil boleh diambil jika isu-isu yang saya bawa dikira memfitnah Tabung Haji.

Mengambil kira keterlibatan Tan Sri Ismee Ismail di dalam 1MDB dan kemungkinan beliau juga akan disiasat tidak lama lagi, saya berpendapat kerajaan tidak boleh melantik beliau ke mana-mana jawatan dalam mana-mana agensi, badan atau syarikat yang dikawal oleh kerajaan sehinggalah siasatan selesai dan beliau disahkan tidak melakukan sebarang kesalahan atau kecuaian. Oleh itu, saya berharap sebarang usaha untuk melantik beliau menjadi orang nombor 2 di Sime Darby seperti yang dilaporkan tidak diteruskan.

Bagi memastikan sebarang langkah melantik beliau ke mana-mana jawatan di badan berkepentingan awam tidak diteruskan sehingga siasatan ke atas 1MDB selesai, saya akan memfailkan satu usul untuk dibahaskan di sidang Dewan Rakyat akan datang menghalang sebarang usaha ke arah itu.

Saya juga mencadangkan perkara-perkara berikut berkenaan pengurusan baru Tabung Haji:

1. CEO baru hendaklah disenaraipendek dan dipilih dari luar supaya beliau boleh bertindak secara objektif menilai segala masalah yang ada

2. Calon CEO baru itu hendaklah melalui proses saringan yang dikendalikan oleh satu jawatankuasa khas Parlimen yang bertanggungjawab membuat pendengaran terbuka (“confirmation hearing”) bagi memastikan beliau benar-benar sesuai

3. CEO baru melakukan audit khas mengenai kedudukan kewangan dan operasi kumpulan Tabung Haji sebaik dilantik dan dibentangkan sebagai kertas putih di Parlimen sebelum akhir tahun ini

Saya berharap rakyat akan terus bersama-sama memberi perhatian dan menjadi timbang tara kepada pengurusan badan-badan awam seperti Tabung Haji untuk mengelakkan perkara-perkara yang sama berulang.

Walaupun berita ini saya sambut dengan rasa syukur, saya akan terus menumpukan kepada analisa dan pendedahan berkaitan Tabung Haji bermula minggu ini.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »