Akhlak Remaja Perempuan Yang Semakin Membimbangkan

KEROSAKAN AKHLAK - LELAKI PEREMPUAN SAMA SAHAJA

Bukan hanya kerana adanya media sosial lalu situasi ini dapat kita kesan. Bukanlah anak sekolah dahulu tidak nakal berbanding budak sekolah sekarang. Tetapi sejujurnya memang keadaan kini amat teruk dan sangat meruncing. 

Pengalaman kami menunjukkan agak sukar merawat atau memulihkan akhlak 100% apabila ia sudah terlanjur rosak. Tidak kira yang lelaki mahupun perempuan. Berita penangkapan pelajar perempuan dan lelaki bawah umur terjebak dadah sangat membimbangkan. Sebahagian bahkan mengakui ketagihan seks secara terbuka.

Apa yang boleh kita lakukan hanyalah mengapit agar akhlak yang sudah rosak itu tidak berpeluang untuk terus diamalkan. Apitan juga harus kuat sekuat ragum besi yang digunakan untuk meluruskan besi bengkok. Adakalanya perlu dibakar untuk meluruskannya.

Sewaktu Rasulullah SAW menerima wahyu dan mengembangkan Islam, banyak kerosakan yang mengambil masa terlalu lama untuk diperbetulkan akibat dari habit buruk yang sudah menjadi darah daging.

Banyak juga riwayat yang menceritakan anak khalifah sendiri kembali melakukan zina dan meminum arak, hanya kerana 'peluang' itu datang lagi. Ini kerana amalan itu sudah menjadi darah daging sebelumnya. 

Kami sendiri akui mengalami kesukaran untuk 'memulihkan' kerosakan 100%. Banyak kerosakan akhlak yang bersifat sehala. Kerana itu Islam mengutamakan pencegahan, bukan rawatan. 

Solat itu adalah satu tarbiah paling berkesan bagi MENCEGAH perbuatan keji dan mungkar. Zina contohnya, Allah perintahkan agar dicegah dan dijauhi. Bukan dipulun saban hari. Jangan sekali-kali mendekati dan berkerabat dengan zina. Jangan berada di tempat yang membolehkan atau menggalakkan zina berlaku.

Sepanjang mengurus anak-anak ini, kami pernah mengalami masalah yang sama. Hasil kajian kami ada banyak kes anak gadis dirosakkan melalui perkhidmatan bas sekolah. Pemandu dan pembantu lelakinya 'kenyang' melayani nafsu pelajar wanita. Kerana itulah kami hantar jemput sendiri anak-anak kami ke sekolah sampai depan pagar. Itupun di belakang kami masih berlaku penyelewengan. Tergamak ponteng sekolah, memanjat pagar seperti dalam gambar hiasan ini. Dari kajang merayau sampai ke KL bersama lelaki dan menghisap rokok.

Kami dapat kesan lalu kami berhentikan dia dari sekolah demi mengelakkan bencana lebih berat berlaku. Bukannya apabila anak sudah bertudung labuh dan semuanya dijamin selamat. Jika hati sudah terlanjur meminati maksiat, mereka sanggup buka tudung labuh dan melakukannya sepertimana anak-anak yang biasa. Pengaruh rakan teramat kuat.

Oleh itu ambillah perhatian wahai ibubapa sekalian. Cemburuilah anak-anak kita. Ya, gejala sosial zaman ini amat parah. Ia adalah satu bencana, bukan lagi perkara biasa-biasa sepertimana sebelumnya.

WARGA PRIHATIN

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »