PUTRAJAYA: Restoran Hard Rock Cafe boleh memainkan lagu nasyid melalui cawangannya di Putrajaya, kata seorang menteri terhadap bantahan pembukaannya, namun masalahnya ialah restoran yang mempunyai rangkaian di seluruh dunia itu tidak bercadang untuk membukanya di sini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata cawangan di Putrajaya boleh menjadi cawangan pertama di dunia yang tidak menjual arak.
“Kita membenarkan hiburan yang tidak menjolok mata, memberahikan serta merangsang orang.
“Malah Hard Rock Cafe boleh memainkan lagu nasyid, apa salahnya,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat bermaksud baik ketika mengemukakan cadangan untuk membuka cawangan restoran itu di Putrajaya.
“Tan Sri Aseh hanya ingin melihat lebih banyak pelabur asing di Putrajaya. Dia tidak mahu menghalau mereka,” katanya.
Hard Rock International yang memiliki rangkaian di seluruh dunia itu berkata, mereka tidak mempunyai rancangan untuk membuka cawangan baru di Malaysia dan enggan memberi kenyataan mengenai isu tersebut.
“Hard Rock International mempunyai prosedur operasi yang ketat termasuk mengenal pasti serta mengkaji pasaran dengan mengambil berat tentang budaya tempatan dan permintaan pasaran sebelum membuka cawangan baru.
“Pengumuman pembukaan cawangan baru hanya akan dilakukan oleh Hard Rock International sendiri dan bukan pihak ketiga,” kata syarikat itu dalam kenyataan daripada ibu pejabatnya di Orlando, Amerika Syarikat.
Tengku Adnan berkata, selain Hard Rock, beberapa sekolah antarabangsa, hospital swasta dan taman tema juga pernah mendekati perbadanan itu untuk mencari peluang perniagaan.
“Jangan memutar belit, kita bukan seperti negara barat, kita mengamalkan budaya timur di sini,” katanya.
Aseh mengumumkan dalam akaun Facebooknya dua hari lalu bahawa Hard Rock Cafe tidak akan membuka cawangan di Putrajaya kerana pusat pentadbiran itu tidak membenarkan premis menjual arak dan hiburan.
Ketua majlis perbandaran mengaku menerima kunjungan Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir di Putrajaya dan berkata anak kepada speaker Parlimen pertama Malaysia itu menyatakan keinginan untuk membuka hotel serta membuka cawangan di kawasan itu.
“Namun, tiada permohonan rasmi mengenai perkara ini. Oleh itu, masih belum mempunyai keputusan muktamad lagi,” kata Aseh.
Syed Yusof juga bertanggungjawab dalam membuka cawangan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Hard Rock Cafe Penang, Hotel Four Seasons Kuala Lumpur dan Hard Rock Cafe Melaka.
“Saya memohon maaf sekiranya isu ini menimbulkan rasa tidak puas hati dan kegelisahan di kalangan rakyat Malaysia,” kata Aseh dalam akaun Facebooknya itu.
Sebelum ini, Aseh mengumumkan dalam akaun Facebooknya bahawa Hard Rock Cafe sedang dalam proses permulaan untuk membuka cawangan baru di kawasan itu.
“Permohonan dibuat di Menara Ikhlas masih belum dihantar untuk diluluskan,” Aseh dilaporkan berkata kepada akhbar New Straits Times.
Dalam akaun Facebook beliau, Aseh juga turut memuat naik gambar lawatan Syed Yusof, Sabtu lalu serta gambar sesi minuman teh petang bersama beberapa warga media sebelum melawat tapak pembinaan cawangan yang diura-urakan itu.