KUALA LUMPUR - "Tiada pihak yang boleh menafikan bahawa kedudukan ekonomi dan tahap sosioekonomi rakyat Malaysia adalah baik dan wajar dibanggakan," demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut beliau, berdasarkan lawatan-lawatan rasmi dan tidak rasminya, beliau melihat ramai rakyat yang kini memiliki kualiti kehidupan yang baik. Malah boleh disifatkan antara yang terbaik di rantau ini.
"Misalnya, saya lihat ibu bapa di bandar-bandar dapat membawa anak-anak mereka bercuti dan membeli-belah menjelang musim cuti sekolah.
"Saya juga diberitahu, semasa MATTA Fair baru-baru ini, penjualan pakej-pakej percutian dan tiket-tiket penerbangan begitu laris sekali. Malah promosi dan jualan hari-hari perayaan seperti Aidilfitri juga sudah bermula seawal bulan lepas," katanya semasa berucap melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015, semalam.
Dalam ucapan itu juga, Najib berkata, keadaan sosioekonomi sebenar negara dan rakyat adalah bertentangan dengan apa yang cuba dimomokkan dan digambarkan secara negatif oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Justeru, beliau meminta rakyat menolak dan menepis semua pandangan yang tidak membina itu kerana kerajaan kini tekad menumpukan segala agenda dan usaha untuk memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat. - BERNAMA