Gambar spyshot serba baharu Proton Persona 2016 telah kami terima dari pembaca Kamal Mcd Asn – imej-imej baharu ini menampilkan sedan segmen-B yang dibina berasaskan Proton Iriz itu menggunakan pelekat penyamaran dengan grafik pusaran baharu yang membuatkan pandangan turut berpinar apabila melihatnya.
Selain dari pelekat penyamaran corak baharu, Persona baharu ini turut kelihatan di dalam keadaan penyamaran yang lebih ringan, mendedahkan perincian yang lebih jelas. “Diffuser” belakang yang besar jelas kelihatan, dan juga “bilah sisi” seiras Iriz juga boleh dilihat, begitu juga lampu belakang berbentuk-badam serta but belakang yang tinggi seperti imej spyshot sebelum ini
PROTON-PERSONA-IRIZ-SEDAN-ISAAC-CHAN Proton-Persona-spyshots-12_BM
Gambar spyshot sebelum ini turut menampakkan rekaan lampu hadapan Persona yang lebih tirus dari Iriz hingga ke gril. Gril krom bahagian atas “sayap Proton” yang merentasi kedua belah lampu hadapan turut jelas kelihatan dalam foto ini. Rekaan tersebut adalah seiras dengan imej render yang dibuat oleh pakar Photoshop Theophilius Chin dan pemenang Pertandingan Rekabentuk Proton 2014, Pow Ying Hern.
Bampar hadapan dengan gril bawah yang menonjolkan splitter dagu adalah seiras rekaan Iriz, manakala lampu kabus kini direka dengan bentuk bulat berbanding tiga segi – seiras dengan imej bayangan Theo. Pada bahagian sisi, Persona kelihatan hampir serupa dengan Iriz, kecuali pada bahagian tiang-C sedan berbanding Iriz yang direka sebagai sebuah hatchback.
Persona kelihatan lebih tinggi dari bakal pesaingnya dalam pasaran sedan segmen-B kelak. Dengan mengambil ketinggian asal Iriz yang dicatat 75 mm lebih tinggi dari Honda City dan Toyota Vios, membuatkan rupa paras Persona ini kelihatan sedikit pelik berbanding pesaingnya.
Persona akan membuat kemunculan sulungya selepas pelancaran Proton Perdana serba baharu yang dijangka tidak lama lagi, tetapi lebih awal daripada Proton Saga baharu. Ia juga dijangka akan dikuasakan dengan pilihan enjin yang sama seperti Iriz iaitu enjin 1.3 liter atau enjin 1.6 liter VVT semasa pelancarannya nanti. Model ini juga turut dijangka bakal menggunakan enjin baharu 1.3 liter dan 1.6 liter pancitan terus (GDI/TGDI) Proton selepas produksi enjin tersebut dimulakan akhir 2017 nanti.