Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan yang dipercayai mangsa dera koma ketika berada di rumah pengasuhnya di Kerteh, baru-baru ini.
Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian itu disedari seorang doktor di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan selepas merawat bayi itu kira-kira pukul 4.20 petang pada Rabu lalu.
Menurutnya, ketika tiba di hospital, bayi itu sudah dalam keadaan koma dan selepas pemeriksaan dijalankan doktor mendapati ada kecederaan di bahagian tengkorak mangsa disyaki didera.
“Ekoran itu, doktor yang merawat bayi berkenaan membuat laporan polis. Ketika kejadian itu berlaku bayi berkenaan dikatakan berada di rumah pengasuh tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Said memberitahu, sehingga petang semalam ibu bapa bayi itu yang kedua-duanya berumur 32 tahun dan masing-masing bekerja sebagai guru dan juruteknik masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian.
“Namun berdasarkan laporan yang telah dibuat oleh doktor, pihak polis melakukan siasatan lanjut kes ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Setakat ini kita belum membuat sebarang tangkapan. Kita akan ambil keterangan pengasuh bayi itu yang merupakan seorang wanita berusia 32 tahun untuk membantu siasatan,” katanya.
Ujar Mohd. Said, hasil siasatan awal mendapati wanita berkenaan hanya mengasuh mangsa seorang sahaja dan tidak ada bayi lain di bawah asuhannya.
Ditanya kemungkinan kecederaan yang dialami bayi malang itu disebabkan cuai, Mohd Said berkata, pihak polis juga tidak menolak kemungkinan kecuaian pengasuh yang menyebabkan bayi itu koma.- UTUSAN ONLINE