Kadar curahan hujan terlalu banyak dan berterusan juga menyebabkan peningkatan air di dalam longkang berlaku dengan cepat.
PUTRAJAYA : Kepesatan pembangunan bukan faktor berlakunya banjir kilat di kawasan sekitar pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan Sabtu lepas, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata siasatan awal Perbadanan Putrajaya (PPj) mendapati banjir tersebut berlaku akibat laluan air tersumbat oleh daun yang jatuh ke dalamnya.
Selain itu, katanya kadar curahan air hujan yang terlalu banyak iaitu pada bacaan 180 milimeter berterusan kira-kira sejam semasa kejadian yang dianggap fenomena luar biasa juga mendorong peningkatan air di dalam longkang begitu cepat.
“Ini fenomena luar biasa untuk Putrajaya di mana hujan terlalu lebat berserta angin kencang yang turut menerbangkan daun-daun kering masuk ke dalam longkang sehingga menyebabkan laluan air tersumbat.
“Hujan ini faktor semula jadi, kita tak boleh kawal … walaupun perkara seumpama ini di luar jangkaan sama sekali,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Sehubungan itu, Tengku Adnan yang juga ahli Parlimen Putrajaya mengarahkan PPj untuk mengkaji semula jenis pokok yang ditanam selain memastikan laluan air sentiasa dipantau bagi memastikan kejadian banjir kilat tidak berulang.
Dalam kejadian antara 6.30 petang hingga 7.30 malam Sabtu, beberapa kawasan dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin menghala ke Dataran Gemilang, di Presint 3 dan Presint 4 di sini ditenggelami air, antara lain menyebabkan dua kenderaan terperangkap namun tiada mangsa di dalamnya.
— BERNAMA