Alat pendingin hawa telah dianggap sebagai keperluan untuk memenuhi gaya hidup pada zaman ini, dan tanpanya boleh mencetuskan ketidakselesaan malah kadangkala menjejaskan mood semua orang, lebih-lebih lagi musim panas sekarang.
Sejak Mac lalu, fenomena cuaca panas atau dikenali sebagai El Nino yang melanda negara membuatkan suhu pada waktu siang menghampiri 40 darjah Celcius dan pada waktu malam suhu kekal melebihi 30 darjah Celcius, iaitu keadaan yang jarang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Cuaca panas itu bukan sekadar dirasai apabila berada di bawah cahaya matahari, malah ia mencetuskan haba yang terperangkap di dalam rumah sekali gus mencetuskan kepanasan sehingga ke lewat malam.
Keadaan itu semestinya mendatangkan ketidakselesaan pengguna yang akan mengekalkan suhu pendingin hawa yang lebih rendah dan seterusnya mengekalkan kadar yang rendah itu untuk tempoh yang panjang.
Fenomena El Nino sejak awal tahun ini dan pengguna menerima bil elektrik masing-masing mulalah ramai yang mengeluh bayaran elektrik yang dikenakan terlalu tinggi.
Secara faktanya, kadar penggunaan elektrik untuk bahagian Semenanjung Malaysia telah mencecah paras tertingginya pada 20 April dengan kapasiti 17,788 megawat (MW).
Apabila pengguna-pengguna menerima bil elektrik masing-masing mulalah ramai yang mengeluh bayaran elektrik yang dikenakan terlalu tinggi. Ada juga yang menganggap Tenaga Nasional Bhd. (TNB) selaku syarikat utiliti elektrik tunggal negara tidak mengamalkan sikap bertimbang rasa kepada pengguna akibat cuaca panas.
Namun kadar bayaran elektrik di negara ini telah ditetapkan dan mempunyai lima peringkat iaitu:
* 200 kilowatt/jam (kWh) (1-200 kWh) cajnya ialah 21.80sen/kWh.
* 100 kWh seterusnya atau 201-300 kWh sebulan bayarannya 33.40sen/ kWh.
* 301-600 kWh seterusnya 51.60sen/ kWh.
* 601-900 kWh sebulan 54.60sen/kWh.
* 901 kWh ke atas sebulan bayarannya 57.10sen/ kWh.
Ada yang mempersoalkan, mereka masih mengekalkan suhu pendingin hawa seperti kebiasaan iaitu antara 22-24 darjah Celcius sepanjang hari dan bukannya 16-18 darjah Celcius sepanjang masa.
Namun perlu diketahui apabila haba di dalam rumah mencecah lebih 30 darjah atau suhu persekitaran yang meningkat sehingga 39 darjah celsius, motor dan kompresor pendingin hawa dan peti ais menggunakan lebih tenaga elektrik untuk mengekalkan suhu kepada 22-24 darjah Celcius misalnya berbanding sebelum ini, untuk mengimbangi kepanasan 39 darjah Celcius itu.
Perbezaan suhu yang ketara berbanding sebelum ini memaksa kompresor dan motor bekerja keras untuk mendapatkan paras suhu yang dikehendaki.
Semakin besar perbezaan suhu, semakin tinggi penggunaan tenaga elektrik. Walaupun isi rumah tidak menggunakan pendingin hawa, penggunaan pelbagai peralatan yang berkaitan dengan penyejukan seperti peti sejuk dan penyaman udara (air cooler), juga menggunakan lebih tenaga elektrik.
Memang wujud pelbagai keraguan dan perasaan marah terhadap bil elektrik yang tinggi itu. Sehinggakan mengesyaki TNB sengaja menaikkan tarif elektrik dan mengenakan caj tersembunyi. Ini dinafikan oleh syarikat utiliti negara.
Jelas TNB, tiada kenaikan tarif sejak tahun 2014 dan syarikat itu juga tidak mengenakan sebarang caj tambahan atau apa-apa kos tersembunyi. Syarikat itu menjelaskan bahawa sistem tarif sedia ada mengenakan caj berperingkat mengikut kadar penggunaan. Semakin tinggi unit penggunaan elektrik, semakin tinggi caj yang dikenakan.
Ramai juga yang mempersoalkan mengapa TNB yang menjana keuntungan berbilion ringgit enggan memberi rebat kepada pengguna. Perlu diketahui bahawa sebagai syarikat milik kerajaan (GLC) syarikat itu masih mempunyai kos operasi yang perlu ditanggung malah keuntungan yang dijana dialihkan sebagai cukai negara.
Syarikat itu juga perlu berbelanja untuk penambahbaikan infrastruktur bagi meningkatkan kualiti perkhidmatannya.
Ada juga yang meragui kerana tahun ini bukan kali pertama El-Nino dan mengapa tahun-tahun sebelum ini tidak berlaku kenaikan bil elektrik secara mendadak. Memang benar, tahun ini bukan pertama kali El-Nino melanda negara. Namun, impaknya pada kali ini ternyata lebih dirasai dengan suhu yang lebih panas dan dalam jangka masa yang lebih lama berbanding sebelum ini.
Seperti dinyatakan juga, isi rumah negara kini semakin ramai memiliki pelbagai barangan elektrik termasuk pendingin hawa, peti sejuk dan pelbagai perabot-perabot lain. Maka corak penggunaan per kapita elektrik isi rumah tempatan tidak sama seperti corak penggunaan pada 10 hingga 15 tahun lalu.