GEORGETOWN - Pihak yang membantah cadangan kemasukan 1.5 juta pekerja dari Bangladesh bagi memenuhi sektor pekerjaan 3D (bahaya, kotor dan sukar) di negara ini diminta untuk memberi alternatif kepada kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan tidak mempunyai pilihan kerana rakyat di negara ini dilihat kurang berminat dan tidak sanggup bekerja dalam bidang itu.
Bagaimanapun, beliau yakin kerajaan akan mengkaji cadangan itu secara berperingkat bagi memastikan ia tidak akan menjejaskan dan menggugat peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
"Ini memang perkara sensitif. Ia bukan satu perkara yang mudah. Saya percaya kerajaan akan melihat perkara ini peringkat demi peringkat. Justeru, kami minta semua pihak supaya jangan hanya pandai membantah sebaliknya beri alternatif kepada kerajaan jika tidak bersetuju.
"Saya juga percaya kerajaan mempunyai mekanisme khusus dalam menangani isu ini terutama dalam memastikan setiap pekerja asing yang datang ke negara ini akan dihantar pulang bila tiba masanya," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: 'Sanggupkah belia cuci longkang, bina bangunan...?']
Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu belia tempatan mengambil alih kerja di sektor yang dikategori sebagai 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing yang kini menguasai sektor itu, yang melibatkan industri perladangan, perkilangan, pembinaan dan pembersihan.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, ketiadaan belia tempatan yang sanggup bekerja dalam bidang itu jelas terbukti apabila industri minyak dan gas terutama membabitkan pekerjaan 3D di kawasannya turut dikuasai pekerja asing.
"Salah satu cabaran bagi generasi muda ialah mereka tidak minat kerja-kerja misalnya dalam minyak dan gas yang kerja macam kimpalan, kerja macam berdiri lapan, 10 jam mereka memang tak minat.
"Saya banyak dengar laporan majikan mereka tak boleh tangani tekanan bekerja dalam persekitaran sedemikian," katanya.
Beliau berkata, generasi muda perlu menanam sikap patriotik dan cintakan negara dengan tidak membenarkan orang luar mengambil alih sektor pekerjaan di negara ini.
Sementara itu, Azalina berkata, Biro Tata Negara (BTN) dan USM akan bekerjasama dalam memperkenalkan kandungan baharu modul BTN yang berkonsepkan negara bangsa dan patriotisme terutama kepada pensyarah muda serta pelajar.
Beliau akan berbincang dengan pengurusan USM untuk memasukkan modul yang bersesuaian dalam menerapkan elemen berkenaan selain bercadang untuk bekerjasama dengan universiti lain untuk memperkenalkan modul baharu itu. - Bernama
3 comments
commentsdah ramai orang bijak pandai bagi nasihat dan alternatif tapi buat2 tak dgr jee
ReplyBanyak pekerja bangladesh kerja pam minyak , car wash , kerja kilang , kerja 7 eleven , baut cat kereta , buka kedai makan , buka kedai komputer , buka kedai runcit dan banyak lagi ,, org bangla pun silap 2 x mau kerja sektor 3 d sebab gaji sedikit ,, cuba fikir ,, kalaulah saya saya pekerja bangla tidak boleh jadi penduduk tetap , warganegara , x boleh kahwin warga tempatan x boleh keluar dari sektor 3 d dan banyak lagi ,, sebab saya selalu tahu pekerjaan bangladesh sewaktu saya buat tugasan
ReplyCari tangkap sume warge PATI bantu dorg dpt dokumen yg betol... Bagi dorg keje btol2.... Sbb PATI lebih rmi dr org yg nak dibawak masok tu.... Klu la betol rakyat malaysia x mau keje bidang tu.... Tp ingat jgn abai fresh graduate... Biar xde yg tinggl xde keje... Bg sume tu keje dulu... Br sibok nak bongkar hal bwk masok bangla... Bongkar tangkap PATI dlm negara.... Utamakn fresh graduate dulu... Terima kasih..
Reply